GEJALA SOSIAL DI KALANGAN REMAJA

| |

PENDAHULUAN

Masalah sosial memang hebat dibincangkan di mana-mana sahaja di dunia ini dan kini lebih hebat dibincangkan dari masa kesemasa di Malaysia sendiri. Bukan sahaja masalah ini terjadi di negara membangun tetapi di negara maju dan juga dunia ketiga. Remaja masa kini hidup penuh dengan cabaran demi kemajuan dan kemodenan sehingga mereka kini hidup dengan penuh kebebasan. Kebebasan remaja kini tiada terbatas lagi hingga berlaku pelbagai masalah sosial di kalangan mereka yang bergelar remaja. Permasalahan sosial di kalangan remaja masa kini amat membimbangkan banyak pihak terutama sekali golongan ibu bapa dan golongan pendidik. Akhlak remaja semakin jatuh dan bagaikan tidak dapat dibendung lagi.
Seks bebas, lari dari rumah, buang bayi, mengedar dan menagih dadah, alkohol, ponteng sekolah, mengugut, menubuhkan kumpulan haram. Kesemua yang disebutkan tadi hanyalah sebahagian dari permasalahan sosial di kalangan remaja kita.
Remaja adalah seorang manusia yang berusia antara 14-21 tahun. Pada usia tersebut mereka sangat naif terhadap apa-apa perkara , mereka selalu ingin mencuba semua yang ada di dunia ini tanpa memikirkan akibatnya di masa yang akan datang.
Penyakit ini sebenarnya sudah lama bertapak di negara kita. Ia disebabkan oleh banyak faktor, antaranya adalah suasana persekitaran yang berubah secara mendadak terutamanya dengan pengaruh media massa dan elektronik yang saban hari mempengaruhi pemikiran golongan muda terutama yang baru meningkat remaja. memaparkan tentang eksploitasi terhadap wanita dan kebebasan remaja yang keterlaluan yang banyak. Dengan kurangnya didikan agama dan kasih sayang dari ibu bapa, perasaan ingin mencuba, desakan atau pengaruh dari rakan sebaya ini semua sebab terjadinya masalah sosial yang kian sukar dibendung lagi.
Masalah sosial yang melanda remaja pada masa kini terjadi daripada beberapa faktor. Antaranya selain daripada yang diberikan di atas merupakan pengaruh atau ugutan daripada rakan sebaya, kekurangan ilmu bagi menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar dan mempunyai sikap ingin mencuba sesuatu yang tidak baik dan juga sebab seperti di bawah.

Globalisasi /Kebebasan

Globalisasi sebenarnya tidak bermaksud kebebasan yang tidak ada batasnya, tetapi bermaksud kebebasan setiap manusia untuk menunjukkan seluruh potensinya sehingga dapat membawanya perubahan yang bererti baik pada diri sendiri mahupun orang lain.
Dalam era globalisasi ini banyak sekali berlaku pengekploitasian terhadap segala sesuatu iaitu ilmu pengetahuan sampai hal-hal yang bersifat pornografi yang membahayakan mental generasi muda kita. Remaja mudah terpengaruh terhadap perkara baru dan trendy misalnya mewarna rambut, memakai anting-anting atau tattoo bahkan sampai kepada hal-hal yang sangat serius iaitu pengambilan minuman keras, narkotik dan pergaulan bebas yang menjurus kepada free sex (seks bebas) yang giat dilakukan oleh remaja.

Modenisasi

Globalisasi bergerak seiringan dengan modenisasi. Salah satu alasan utama yang menjurus kepada masalah jenayah di kalangan remaja adalah disebabkan oleh proses modenisasi ini. Dalam dunia yang serba moden ini, masyarakat yang inginkan kemewahan menjadi semakin individualistik dan materialistik.
Sesetengah masyarakat moden tidak lagi menerima suratan takdir. Mereka mempercayai bahawa usaha mereka boleh membawa kebaikan. Jika di banding dengan masyarakat tradisional, masyarakat moden mempunyai cita-cita tinggi. Mereka mahukan prestij, gaji tinggi dan barang-barang mewah. Masyarakat moden tidak lagi menganggap saudara-mara mereka dan jiran mereka sebagai kelompok rujukan. Mereka mempunyai hubungan yang luas, di luar batasan sosial dan fizikal. Bagi mereka terdapat beberapa adat resam tradisional yang sudah tidak diamalkan lagi dalam masyarakat moden.

Media Massa / Internet

Dewasa ini, media massa memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi masyarakat khususnya golongan remaja. Melalui teknologi yang semakin canggih ini, golongan remaja mudah terdedah kepada banyak maklumat termasuk bahan yang tidak sesuai yang boleh mendatangkan bahaya jika digunakan tanpa panduan daripada golongan dewasa.
Golongan pelajar lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling mereka. Paparan adegan-adegan negatif dari filem barat yang banyak memaparkan adegan ganas menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin cuba sendiri mengikut apa yang mereka tonton dari video cakera padat dan sesetengah program televisyen.
Selain daripada video cakera padat (VCD), bahan-bahan pornografi juga mudah didapati melalui internet yang sukar dibuat tapisan oleh pihak yang berwajib. Oleh itu, ibu bapa seharusnya membimbing dan memberi tunjuk ajar supaya remaja ini mendapat panduan yang betul.
Ideologi Kebebasan Bertingkah Laku
Kebebasan bertingkah laku di negara Barat telah banyak membawa akibat yang buruk dalam masyarakat mereka. Apakah kita sepatutnya mencontohi mereka? Adakah semua yang dibawa Barat baik? Rancangan Barat yang berunsur realiti banyak memperlihatkan adegan yang tidak selaras dengan kebudayaan Timur.
Rancangan televisyen pastinya mengghairahkan remaja kerana memaparkan adegan-adegan yang menjolok mata dan kadang-kadang unsur-unsur seks yang melampau serta cara hidup yang serba pincang. contohnya filem-filem Barat yang di tayang di televisyen, lebih-lebih lagi bagi siaran yang berbayar.
Rancangan televisyen sebegini seolah-olah memberikan satu fahaman bahawa orang ramai boleh mengadakan seks rambang selagi tidak ada pencabulan hak dan kebebasan di antara dua pihak. Budaya seperti inilah yang mendedahkan remaja kepada penyakit-penyakit kelamin yang berbahaya.

Pakaian Dan Kes Rogol

Anak-anak muda kini diajak menjadi golongan yang berfikiran terbuka. Malangnya, minda mereka dicemar oleh konsepsi kehidupan yang membawa kepada kecelaruan. Zaman ini perempuan Melayu Islam yang memakai mini skirt, seluar pendek atau memadankan tubuh dengan bikini dan bertanding dalam peraduan ratu cantik di khayalak ramai tidak dianggap sebagai pesalah. Golongan wanita muda yang berpakaian menjolok mata tidak dapat menerima pendapat bahawa merekalah yang memainkan peranan dalam melonjaknya jumlah kes rogol dan pencabulan kehormatan.

Dunia Cinta Remaja

Perasaan ingin berpasangan semakin memuncak ketika berada di alam remaja. Sekiranya perasaan ini tidak dikawal atau dibendung sudah tentu ia akan membawa kepada masalah sosial. Isu terkini benarkah remaja kini banyak terlibat dalam aktiviti seks bebas? Mereka bercinta dan melakukan hubungan seks serentak demi cinta sejati.
Remaja lelaki dan perempuan masa kini menghadapi masalah sosial seperti pergaulan bebas, anak luar nikah, zina dan sebagainya. Bercinta tidak pernah dianggap salah malahan orang yang tidak percaya akan cinta kepada insan lain dan pencipta-Nya merupakan golongan manusia yang rugi. Islam sendiri menggalakkan umatnya saling kenal mengenali antara satu sama lain tanpa mengira jantina, bangsa dan agama.
Mungkin ada cara untuk menangani masalah percintaan. Remaja diingatkan supaya berkawan atau bercinta dengan cara yang telah digariskan oleh Islam yang diantaranya adalah mengelakkan pergaulan tanpa batas, berdua-duaan di tempat sunyi dan sebagainya.
”cinta yang tak terkawal boleh membawa kepada masalah yang lebih buruk…”

Mengisi Masa Lapang Remaja

Penggunaan untuk mengisi waktu lapang bagi remaja sering diabaikan. Kerap kita berjumpa dengan remaja-remaja yang masih memakai pakaian seragam sekolah berkeliaran di pusat membeli belah atau ‘melepak’ di tepi jalan. Kegiatan semacam ini dirasakan kurang bermanfaat dan dapat menimbulkan berbagai masalah sosial, seperti mengganggu ketenteraman.
Pelajar yang sibuk dan menyukai kesibukan, biasanya memiliki masa lapang yang terbatas. Mereka kurang berminat pada kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah. Pengisian masa lapang yang kurang terarah, akan mendesak remaja melakukan aktiviti atau kegiatan yang kurang terarah seperti perbuatan negatif.
Oleh itu perlu diingat aktiviti apa saja yang dipilih oleh seseorang, khususnya remaja, sebagai pengisi masa lapang tidak harus dipandang remeh oleh ahli keluarga.

CARA MENGATASI MASALAH SOSIAL REMAJA

Remaja atau belia perlu mengekalkan pergaulan terpuji di kalangan rakan-rakan mereka dan mestilah mempunyai dan mengamalkan sifat-sifat yang terpuji seperti berakhlak mulia, beradab ketika berbicara, sering memberi salam, jujur, memelihara amanat, sabar, toleransi dan seumpamanya hingga kepada azam menanam rasa memuliakan teman atau rakan yang baik pada setiap pertemuan. Pergaulan juga harus dijaga daripada perkataan yang sia-sia, kotor dan perkara-perkara yang merupakan ‘kerugian’ bagi setiap individu Muslim.Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Bukanlah seorang Mukmin yang sempurna, yang suka mencela dan melaknati, berperangai jahat dan berakhlak rendah."
Bagi remaja yang sudah terpesong hendaklah sedar bahawa kita sepatutnya mengamalkan nilai-nilai murni yang baik dalam pergaulan serta mencari arah dan tujuan hidup yang asal serta mencipta kebaikan dan kecemerlangan diri. Tidak bererti keterlanjuran diri yang telah berlalu merupakan sempadan yang tidak dapat diubah ke arah yang lebih baik dan sempurna. Justeru, pergaulan yang dicari ialah pergaulan yang baik, beretika, dan sentiasa ingat kepada ajaran-ajaran beragama serta menghala tuju ke arah kualiti hidup yang berguna. Lihatlah kepada resmi ikan, meskipun berenang di lautan masin, namun ikannya tetap tawar dan sedap dimakan.Maknanya, meskipun pelbagai perubahan sosial yang berlaku di sekeliling kita, pengaruhnya tidak semudah itu meresap ke dalam diri kita, namun yang baik tetap menjadi pilihan dan keutamaan kita. Untuk mempertahankan kebaikan yang kita sedia miliki inilah kita perlu kepada ketahanan diri. Ketahanan diri yang dimaksudkan ini memerlukan kepada bekalan yang kukuh dan mantap. Dalam konteks ini, apa yang lebih mujarab untuk menjadi benteng yang menjadi senjata mengawal diri ialah memperteguh keimanan dan kekuatan beragama.Tiada apa-apa yang akan dapat membantu dalam mengawal diri kita ini, jika kita kosong dengan bekalan keimanan dan ketakwaan yang mendalam. Kita perlu dan tidak boleh mengabaikan bahawa perhiasan yang paling indah ialah keimanan dan ketakwaan yang mendalam kepada Allah s.w.t.Jika hakikat ini kita abaikan, maka mudahlah segala ancaman dan gejala sosial menebusi pertahanan diri kita. Jika pertahanan diri kita sudah dibolosi,Inilah yang akan menjadi isu kehidupan yang bukan sahaja akan melibatkan banyak perkara, malahan ia juga akan melibatkan tenaga dan usaha yang jika dialihkan ke arah yang lebih bermakna, akan lebih memberikan kesan dan manfaatnya.Inilah yang sedang kita lalui sekarang dan kita memerlukan persiapan diri untuk berdepan dengan budaya yang sudah mula membauri kemurnian yang sedemikian lama kita pupuk dan semai bersama. Kita perlu sedar dan menginsafi bahawa jika kita terus membiarkan keadaan ini berlaku, kita akan kehilangan nilai dan juga kemurnian jati diri bangsa. Justeru, semua pihak (lebih-lebih remaja sendiri) harus berperanan dan bertanggungjawab dalam mewujudkan ketahanan budaya dan nilai-nilai kehidupan beragama yang sedemikian lama kita genggam. Tidak ada ertinya lagi untuk kita sering menyalahkan antara satu dengan yang lain.
Kerajaan telah melakukan bermacam-macam cara untuk menarik minat dan perhatian remaja dari melakukan aktiviti yang tidak berfaedah, seperti kempen Budi Bahasa budaya kita, Tak Nak kepada Rokok, Belia Benci Dadah dan banyak lagi, namun usaha dan susulan sedemikian yang giat dilaksanakan dengan bantuan badan-badan tertentu tidak begitu berjaya menarik minat remaja secara menyeluruh. JAKIM sebagai salah sebuah agensi kerajaan juga turut serta dalam hal ini seperti mengadakan program menjadikan masjid sebagai tempat persinggahan penagih dadah, bengkel menangani gejala sosial remaja, dakwah untuk remaja, menerbitkan bahan-bahan bacaan berunsur Islam untuk remaja serta banyak lagi.
Tanggungjawab membanteras masalah sosial sebegini bukan sahaja tanggungjawab kerajaan dan pihak sekolah sahaja malah tanggungjawab ini harus dipikul oleh semua pihak, terutama ibu bapa sendiri. Adalah tidak munasabah sekiranya pihak ibu bapa sekadar menuding jari kepada pihak lain sekiranya anaknya bertindak liar.
”..Ini tanggungjawab semua pihak, remaja pun tidak boleh disalahkan 100%...”
Kembali kepada Akal Budi Islam
Menurut Islam, kanak-kanak mula dapat membezakan perkara yang baik dan buruk setelah mencapai mumaiyiz iaitu berumur tujuh tahun. Pada ketika inilah ibu bapa atau penjaganya patut melatih anak mengerjakan ibadat yang wajib. Apabila anak mencapai umur baligh, mereka wajib melaksanakan semua suruhan agama dan menjauhkan segala larangannya.
Islam mempunyai suatu sistem yang cukup lengkap, datangnya dari pencipta manusia sendiri iaitu Allah SWT yang sendirinya tahu tentang baik atau buruk bagi manusia itu. Amalkan ajaran Islam sepenuhnya sebagai cara hidup.
Kesimpulan
Sama ada disedari atau tidak kebanyakan masalah yang melanda remaja masa kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud di dalam persekitaran. Terdapat banyak faktor yang perlu ditimbangkan sebelum kita boleh menuding jari siapa penyumbang utama isu ini. Bak kata pepatah “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati ”. Maka, adalah wajar bagi semua pihak untuk sentiasa menangani dan prihatin dengan permasalahan sosial remaja.
Sebagai penjaga kepada anak-anak, ibu bapa haruslah lebih peka dan sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anaknya. Ibu bapa haruslah bersikap terbuka dan membincangkan isu ini dengan anak-anak mereka Marilah kita dengan penuh sedar dan keinsafan bergabung fikiran, tenaga, kepakaran dan pengalaman, bertindak mencari jalan penyelesaian walaupun usaha yang dilaksanakan nanti belum pasti dapat menghapuskan permasalahan ini tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk membendung daripada terus merebak memusnahkan anak bangsa rakyat yang tercinta. Begitu juga dengan remaja, mereka seharusnya sentiasa peka dan terus berusaha untuk menjadi remaja yang merdeka. “Remaja hari ini adalah pemimpin hari esok”.

SUMBER RUJUKAN
1. http : // www. Yadim. Com
2. http : // www. Gov. islam . my
3. www. Geocities .com
4. www. Islam.gov.my

3 ulasan:

Sis Jaja berkata...

Alhamdulillah, terima kasih atas perkongsian..mohon dipanjangkan penulisan untuk manfaat bersama.. moga ganjaran dari Allah sahaja ... amin..

Asyraaf Aiman berkata...

amin

Asyraaf Aiman berkata...

amin

Catat Ulasan